Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton negara, Ong Ewe Hock melihat perkembangan positif dalam permainan Lee Zii Jia, namun menegaskan konsistensi menjadi kunci utama buat pemain perseorangan profesional itu untuk kembali ke prestasi terbaiknya.

Menurut Ewe Hock, kejayaan Zii Jia melangkah ke separuh akhir Terbuka Artik menunjukkan pemain itu mula menemui semula rentak permainannya selepas melalui tempoh panjang bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Katanya, perubahan positif itu dapat dilihat menerusi kualiti pukulan dan corak permainan pemain di ranking ke-56 dunia itu yang semakin baik ketika bersaing di pentas berintensiti tinggi.

Bagaimanapun, beliau berharap Zii Jia dapat mengekalkan tahap permainan berkenaan secara konsisten kerana perjalanan untuk muncul juara menuntut pemain mempamerkan prestasi terbaik dalam beberapa perlawanan berturut-turut.