Los Angeles: Selepas mencetuskan fenomena menerusi filem komedi romantik Crazy Rich Asians pada 2018, bintang asalnya, Tan Sri Michelle Yeoh dan Henry Golding kembali menghidupkan dunia mewah dalam drama bersiri terbaharu terbitan HBO.
Siri drama berdurasi satu jam bagi setiap episod itu bakal mengembangkan kisah yang mencuri perhatian penonton menerusi filem berkenaan, dengan beberapa pelakon asal kembali menjayakan watak masing-masing.
Menurut laporan Variety, Constance Wu, Henry dan Ronny Chieng akan kembali sebagai pelakon tetap, manakala pemenang Oscar, Yeoh tampil dalam peranan berulang.
Berbeza daripada perancangan menghasilkan filem sekuel, kisah terbaharu itu dilaporkan akan dipersembahkan menerusi lapan episod diadaptasi daripada trilogi novel terlaris karya Kevin Kwan, termasuk China Rich Girlfriend dan Rich People Problems.









