PETALING JAYA – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di daerah Sentul dan Keramat akan dibuka semula esok selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan penurunan selama tiga hari berturut-turut.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bacaan IPU di Stesen CA15W Batu Muda mencatatkan paras sederhana iaitu 84 setakat pukul 2 petang semalam.

Sehubungan itu, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta arahan Bekerja dari Rumah (BDR) bagi kawasan berkenaan turut ditamatkan.

Bagaimanapun, semua institusi pendidikan di bawah KPM di daerah Bangsar dan Pudu akan terus ditutup berikutan kualiti udara yang masih berada pada tahap tidak sihat.