PETALING JAYA – Sekolah di daerah Bangsar dan Pudu masih ditutup susulan jerebu, manakala institusi pendidikan di Putrajaya, Perak, Melaka serta daerah Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa mulai esok.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan, penutupan sekolah di Bangsar/Pudu diteruskan berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Stesen Cheras masih tidak sihat pada paras 152 setakat pukul 2 petang semalam.

Sehubungan itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta arahan Bekerja dari Rumah (BDR) bagi guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di kawasan berkenaan diteruskan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Bagaimanapun, sekolah di Sentul dan Keramat dibuka semula selepas bacaan IPU di Stesen Batu Muda mencatatkan paras sederhana, iaitu 84.