MELAKA: Semua institusi pendidikan di Melaka akan beroperasi semula mulai esok, Isnin, tertakluk kepada pengesahan rasmi pihak berkuasa berhubung perkembangan terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu mengambil kira perkembangan kualiti udara semasa dengan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan terus menjadi keutamaan.
“Sebarang perubahan arahan pengoperasian akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak pentadbir institusi pendidikan diminta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi masing-masing selain mematuhi arahan dan garis panduan semasa yang ditetapkan Kementerian Pendidikan serta pihak berkuasa berkaitan.








