Abdul Wahid Sulong yang berusia 58 tahun, mengalami strok tiga tahun lepas ketika memberhentikan lori dipandunya di tepi jalan untuk berehat berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Berkongsi kejadian diserang strok, Abdul Wahid berkata, ketika hendak turun dari lori, kakinya tiba-tiba terasa lemah dan dia terjatuh. Dia cuba bangun dan naik semula ke dalam lori, namun tidak berjaya.
Pada waktu itu, dia masih sedar dan boleh bercakap tetapi tidak dapat bergerak seperti biasa. Dengan telefon yang berada di dalam poket, Abdul Wahid menghubungi rakan-rakan yang berada berdekatan untuk mendapatkan bantuan sebelum ambulans tiba.
“Ingatan saya mengenai kejadian selepas itu semakin kabur dan dalam tempoh berikutnya, saya turut mengalami kesukaran untuk makan. Saya menerima rawatan awal di hospital kerajaan selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang. Selepas itu, saya berada di rumah selama kira-kira dua bulan.









