ALOR GAJAH: Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan senarai calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 18 Oktober ini, dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mensasarkan untuk bertanding di lapan hingga sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, berkata keputusan pemilihan calon diserahkan kepada pucuk pimpinan parti, termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum diumumkan secara rasmi.
Katanya, antara kerusi dikenal pasti untuk ditandingi parti berkenaan termasuk Machap, Ayer Keroh dan Rembia, manakala senarai penuh akan diumumkan kemudian.
"Kalau tidak silap saya, kita mensasarkan lapan hingga sembilan kerusi, selebihnya rakan-rakan dalam gabungan kita," katanya ketika ditemui pada program Jalinan Jelajah Rider Melaka menghimpunkan kira-kira 1,500 penghantar p-hailing di Dewan Censelor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal di sini, hari ini.









