KUALA LUMPUR: Kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid antara beberapa kes berprofil tinggi yang dijadualkan berlangsung masing-masing di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan sepanjang minggu depan.

Bagi kes Najib, mahkamah dijadual mendengar permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan Rabu ini untuk pendengaran pada pengurusan kes yang dihadiri peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Pendengaran itu dipercepatkan selepas pihak pembelaan memfailkan sijil perakuan bagi tujuan berkenaan.