PONTIAN – Tiga beradik yang maut dalam nahas di Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, pagi tadi, selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Siraj, di sini.

Allahyarham Nur Daniel Aiman Norlizan, Nur Daniel Fikri, 11, dan Puteri Naufa Raisha, 8, selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.30 petang.

Pengebumian tiga beradik itu disaksikan kira-kira 200 ahli keluarga, saudara-mara, penduduk kampung serta guru dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Suasana pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan ketika jenazah ketiga-tiga beradik diturunkan ke dalam satu liang lahad untuk disemadikan bersama.

Terdahulu, tiga jenazah berkenaan dibawa pulang ke kediaman keluarga selepas bergerak dari Hospital Pontian pada kira-kira pukul 5.30 petang menggunakan tiga van jenazah.