SHAH ALAM – Selangor menjadi negeri ketiga selepas Negeri Sembilan menutup sepenuhnya semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan keadaan jerebu.

Penutupan itu berkuat kuasa mulai esok sehingga dimaklumkan semula oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Pengarah Pendidikan Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, keputusan tersebut selaras dengan kenyataan media KPM hari ini dengan setiap sekolah perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

“Semua institusi pendidikan di bawah KPM di Selangor adalah ditutup sepenuhnya mulai esok.

“Guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa,” katanya.