PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita susulan kemalangan yang meragut nyawa tiga beradik ketika dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, Johor, hari ini.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta mendoakan mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan berkenaan.

“Saya menzahirkan simpati yang mendalam kepada seluruh keluarga dan mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini.

“Semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.