PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap kemalangan maut yang meragut nyawa tiga beradik yang dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, Johor, hari ini.

Anwar berkata, beliau juga amat bersimpati kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan berharap mereka kuat untuk menghadapi ujian tersebut.

“Saya menzahirkan simpati yang mendalam kepada seluruh keluarga dan mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini.

“Semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, tiga beradik iaitu Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufa Raisya, lapan tahun, maut bersama abang mereka, Nor Daniel Aiman, 18, selepas motosikal dinaiki bertembung sebuah lori.