ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melaungkan amaran awal selepas membelasah PKR Svay Rieng FC 6-0 pada aksi Kumpulan B saingan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.

Beraksi di hadapan kira-kira 15,000 penonton, JDT mempamer aksi bertenaga memberi tekanan kepada pasukan pelawat bagi memburu gol awal pada babak pertama itu.

Percubaan pertama pasukan kendalian Xisco Munoz hadir seawal minit ketujuh menerusi hantaran lintang Oscar Arribas kepada Jairo Da Silva namun rembatan pemain kelahiran Brazil itu dinafikan Vireak Dara.

Dara bertindak cemerlang seminit kemudian apabila menafikan percubaan Marcos Guilherme apabila menepis keluar bola rembatan pemain sayap tersebut sebelum Jairo sekali lagi mendatangkan cemas kepada skuad kendalian Matthew McConkey namun tandukan yang dilakukan sedikit tersasar pada minit ke-14.