KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil pendekatan memberi peluang kepada pemain muda dan simpanan untuk beraksi dalam Piala Malaysia serta Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, manakala pasukan utama kekal fokus terhadap tiga kejohanan utama musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, polisi baharu itu diperkenalkan bagi memastikan pemain muda daripada Akademi JDT mendapat pendedahan di peringkat tertinggi selain memudahkan proses transisi mereka ke skuad senior.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara pengurusan kelab, jurulatih pasukan utama dan barisan kejurulatihan akademi.

"Kelab telah membuat keputusan untuk memberi keutamaan kepada Liga Super Malaysia, Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) dan Piala FA serta memastikan peluang diberikan kepada pemain junior dan simpanan beraksi di Piala Malaysia dan Piala Shopee," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi JDT.