PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau persiapan akhir Belanjawan Madani Kelima (Belanjawan 2027) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Kementerian Kewangan atas usaha mereka dalam menyiapkan belanjawan berkenaan.

“Mudah-mudahan Belanjawan 2027 ini terus memperkukuh ekonomi, meringankan beban rakyat, membuka lebih banyak peluang dan memastikan manfaat pembangunan dirasai secara lebih adil.

“Penghargaan kepada seluruh pasukan Kementerian Kewangan yang telah bekerja keras menyiapkannya,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Menerusi beberapa gambar yang dikongsikan, Anwar dilihat bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan pada Hari Tinjauan Belanjawan 2027 selain memegang dokumen berkaitan belanjawan berkenaan.