SEORANG usahawan muda daripada Sungai Burung, Balik Pulau mengambil langkah berani apabila menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) dengan membuka sebuah restoran unik yang dinamakan sebagai One Silver House Cafe, hujung tahun lalu.

Pemiliknya, Muhammad Shazwan Muhammad Ghazali, 34, berkata, idea untuk membuka restoran itu tercetus daripada pengalamannya bekerja dalam syarikat katering sebelum beliau beralih kepada perniagaan barangan runcit tidak lama kemudian.

“Ketika dalam bidang katering, saya belajar mengenai masakan, resipi, hiasan dan pelbagai perkara berkaitan makanan. Kemudian, selepas berhenti daripada bidang katering, saya masuk pula dalam perniagaan barangan runcit sebelum membuka cawangan sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.