PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang memperluaskan penggunaan sistem digitalisasi sebagai usaha mengurangkan kos pengendalian pilihan raya.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan malah turut mengambil kira kos yang ditanggung rakyat ketika pilihan raya.
“Kami (SPR) sedang mengkaji kaedah-kaedah untuk mengurangkan kos pilihan raya. Ia bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga rakyat, termasuklah digitalisasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan bahawa kos Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dianggar RM28.45 juta dengan 11,175 petugas sepanjang pilihan raya berlangsung.
Kos PRN Johor pula sekitar RM86.8 juta manakala PRN Negeri Sembilan pula RM80.6 juta dan semua kos PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) dijangka terus meningkat mengambil kira pertambahan pengundi, kos logistik, kos dakwat dan lain-lain.









