KUALA LUMPUR: Akses kepada pembiayaan dan kerenah birokrasi antara isu yang perlu diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan inisiatif Belanjawan 2027 dapat memberi manfaat kepada perniagaan, khususnya syarikat tempatan.

Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), Harvinder Singh, berkata cabaran yang dihadapi perniagaan bukan semata-mata berkaitan ketersediaan peruntukan, sebaliknya turut melibatkan kemudahan mendapatkan akses kepada dana yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata, walaupun pelbagai program pembiayaan dan jaminan kerajaan tersedia, proses permohonan yang rumit boleh menyukarkan syarikat mendapatkan kemudahan berkenaan.

"Peruntukan itu tersedia, persoalannya adalah akses kepada dana berkenaan. Proses permohonan perlu dipermudah supaya syarikat yang memenuhi syarat dapat memperoleh pembiayaan tanpa dibebani kerenah birokrasi yang berlebihan," katanya dalam podcast Belanjawan 2027 bertajuk 'Bual Bicara Belanjawan 2027: Kesejahteraan Hari Ini, Kemampuan Masa Depan', anjuran Business Times.