Kuala Lumpur: Penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau pengurusan kewangan dan aset Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC) perlu dipertimbangkan bagi memastikan semua akaun penganjuran dapat ditutup dalam tempoh enam bulan selepas temasya berakhir.
Pemerhati sukan tempatan, Dr Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin berkata, jawatankuasa itu penting bagi memastikan setiap perbelanjaan direkodkan dengan teratur, selain mengelakkan isu yang timbul seperti mana pernah dilaporkan media tempatan sebelum ini.
Katanya, pemantauan berkenaan perlu membabitkan Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan pengurusan kewangan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan.
Justeru, tempoh enam bulan selepas Sukan SEA dan Sukan SEA Para 2027 berakhir wajar dijadikan sasaran untuk menyelesaikan semua urusan pembayaran, dokumentasi aset serta penutupan akaun sebelum proses audit dilaksanakan.








