DALAM ucapan sempena Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR 2026), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya kewangan Islam terus inovatif, inklusif dan berdaya saing di peringkat domestik dan global.
Tiga saranan Perdana Menteri itu wajar disambut tetapi nilainya akan ditentukan oleh pelaksanaan kelak.
Antara inti pati ucapan tersebut ialah seruan ke arah menyuburkan kepimpinan pemikiran syariah. Anwar mahukan kepimpinan bukan sahaja berakar umbi pada tradisi tetapi responsif dan tangkas mendepani perkembangan semasa.
Keseimbangan ini penting kerana dua kegagalan itu sama-sama berisiko. Misalnya, industri yang terlalu berhati-hati akan ketinggalan, manakala industri yang terlalu ghairah berinovasi boleh terpesong daripada roh syariah. Cabaran yang mungkin timbul ialah bagaimana mahu bergerak pantas tanpa mengorbankan kesahihan sedia ada.






