SEREMBAN - DAP menegaskan bahawa krisis yang sedang berlaku di Negeri Sembilan ketika ini bukan berpunca daripada parti itu.Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, adalah tidak wajar parti itu terus dituduh sebagai punca krisis sedangkan DAP tidak lagi berada dalam kerajaan negeri."Apa yang berlaku hari ini memang bukan disebabkan kita. Kalau dulu semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, mereka cuba mengaitkan DAP kononnya DAP yang menyebabkan krisis yang berlaku di Negeri Sembilan ini."Hari ini kita sudah berada di luar kerajaan. Jadi mereka tak boleh lagi menyalahkan kita, menggunakan alasan DAP dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan ke-24 di sini pada Ahad.Ahli Parlimen Seremban itu turut berpendapat, pergolakan yang sedang berlaku di negeri terbabit seperti tiada kesudahan kerana melibatkan pelbagai aspek, termasuk kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.Jelas beliau, keadaan itu ditambah pula dengan keengganan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim untuk mengemukakan senarai baharu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir."Sebenarnya tidak ada sebab mereka (BN) tidak boleh meneruskan pentadbiran seperti biasa kerana Tuanku Muhriz telah meminta Menteri Besar memberikan nama Exco baharu."Jadi sebenarnya tidak ada masalah. Mereka boleh memilih orang lain, tapi terpulanglah kepada tindakan mereka," katanya.Bagaimanapun, Anthony berkata, keadaan sebuah kerajaan negeri yang hanya mempunyai seorang Menteri Besar tanpa barisan Ahli Exco adalah sesuatu yang pelik dan tidak seperti kebiasaan.Tambahnya, keadaan itu semestinya menyebabkan pentadbiran negeri tidak dapat berjalan dengan lancar kerana banyak keputusan dan urusan pentadbiran perlu diluluskan melalui MMK."Dari segi percaturan BN, itu terpulang kepada mereka. Mereka ada majoriti dalam Dewan Undangan Negeri."Tapi kita tidak pernah terlibat dalam apa-apa usaha seperti itu (undi tidak percaya kepada Menteri Besar). Seperti yang saya katakan, kita fokus kepada kerja kita dan paling penting saya pesan kepada wakil rakyat yang dipilih supaya kekal fokus kepada tugas mereka," katanya mengulas kemungkinan BN mengemukakan undi tidak percaya kepada Ismail.Ditanya mengenai kemungkinan krisis yang berlaku akan berlarutan untuk tempoh lebih lama, Anthony berkata, beliau tidak pasti mengenainya, namun DAP bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.