KUALA LUMPUR – Barisan Nasional perlu menjelaskan kepada rakyat berhubung krisis politik di Negeri Sembilan supaya pengundi dapat menilai situasi sebenar, termasuk dakwaan yang mengaitkan parti itu dengan kemelut berkenaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani berkata, masyarakat perlu diberikan penjelasan yang jelas berhubung isu berbangkit, termasuk tuduhan yang tersebar di media sosial, sebelum membuat penilaian sendiri.

“UMNO kena explain (jelaskan) kena beritahu rakyat bahawa yang nak buat pemecatan kepada Tuanku (Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) bukan UMNO.

“Kena jelaskan kenapa buat proclamation (pengisytiharan), kena explain (jelaskan) supaya orang faham prosedur ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bayu Seafood by White N Black di sini, hari ini.