KOTA BHARU: Pihak berkuasa dan agensi agama digesa supaya segera menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tindakan lelaki Islam menyertai ritual keagamaan ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves, baru-baru ini.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, menegaskan perbuatan meniru atau mengamalkan ritual agama lain adalah diharamkan dalam Islam.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak gopoh menjatuhkan hukum murtad terhadap individu terbabit memandangkan setiap kes perlu melalui siasatan mendalam terlebih dahulu.
"Perbuatan meniru agama lain itu adalah haram, tetapi tidaklah mudah untuk terus sampai ke hukum murtad kerana kita perlu menyiasat secara teliti aspek kejahilan atau niat individu berkenaan," katanya ketika dihubungi.









