Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat dakwaan seorang individu beragama Islam melakukan ritual agama lain yang menyalahi hukum syarak, seperti ditularkan di media sosial.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Ini membabitkan kesalahan melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan dengan apa-apa cara yang menyalahi hukum syarak dan kesalahan melakukan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.

"Setakat ini, pihak JAIS masih belum dapat mengesahkan perbuatan itu dilakukan oleh individu berkenaan semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor seperti mana yang ditularkan," katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.