Kota Kinabalu: Insentif potongan cukai khas bagi penyumbang makanan dan peralatan di bawah Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 akan mula dilaksanakan bermula 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata insentif itu bertujuan menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada sektor korporat, pertubuhan sukarela dan rakan strategik lain dalam membantu golongan memerlukan.

Beliau berkata, langkah berkenaan antara 44 insentif cukai diumumkan dalam Belanjawan 2027 susulan penerimaan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) oleh Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan (MoF).