Melbourne: Juara Olimpik dua kali, Eliud Kipchoge, kembali menjuarai acara maraton selepas tiga tahun apabila pelari legenda Kenya itu menamatkan saingan di Melbourne dengan penuh bergaya, hari ini.

Pelari maraton paling banyak meraih pengiktirafan dalam sejarah itu melintasi garisan penamat dengan catatan dua jam sembilan minit 10 saat (2:09:10), dua saat lebih pantas daripada rekod perlumbaan.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Kipchoge dalam jarak maraton sejak menjuarai Maraton Berlin pada 2023, selain menjadi sebahagian daripada misi jelajah dunianya untuk mengumpul dana bagi tujuan yang diperjuangkannya.

Bekas pemegang rekod dunia berusia 41 tahun itu mengumumkan pada 2025 bahawa dia merancang melengkapkan acara maraton di tujuh benua, termasuk Antartika, dalam tempoh dua tahun.