Sebagai seorang pesara, saya amat menghargai dan berterima kasih atas pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan MADANI 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Bagi saya, belanjawan ini memberikan perhatian bukan sahaja kepada golongan yang masih bekerja, tetapi juga kepada pesara dan warga emas yang telah mencurahkan bakti kepada negara.

Antara pengumuman yang amat bermakna ialah peningkatan kadar pencen minimum bulanan daripada RM1,000 kepada RM1,350.

Kenaikan RM350 ini pastinya membantu pesara yang menerima pencen rendah untuk menampung keperluan harian, khususnya perbelanjaan makanan, ubat-ubatan dan keperluan kesihatan.