Kajang: Hari pertama perkenalan Koperal Siti Salwana Mohd Ismail sudah mendapat 'tanda' pada tangan kirinya selepas digigit Tai Sen, anjing kawalan yang menjadi 'rakan' setugasnya dalam Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Penjara Malaysia.

Bagaimanapun itu tidak mematahkan semangatnya mendapatkan kepercayaan anjing jantan baka Belgian Malinois yang disifatkan sangat agresif pada pertemuan pertama itu sebelum akhirnya dia berjaya 'menundukkan' Tai Sen dalam masa seminggu pada Mac lalu.

Berkongsi kisahnya, Siti Salwana, 32, berkata, Tai Sen bukan anjing yang mudah 'ditawan' kerana ia agresif, tidak mesra dan tidak mudah dikendalikan, malah anggota lain tidak boleh memegangnya.

"Apabila pegawai maklumkan Tai Sen akan diserahkan kepada saya memang agak ragu juga kerana tidak semua orang termasuk anggota lelaki boleh memegangnya. Saya masih ingat kali pertama jumpa Tai Sen sangat agresif hingga gigit saya namun gigitan itu seperti 'lesen' lulus untuk pengendali anjing K9.