MICHAEL Carrick menuntut Manchester United lebih bijak mengawal permainan dan memiliki mentaliti lebih kental selepas sekali lagi mensia-siakan kelebihan untuk sekadar seri 1-1 menentang Tottenham Hotspur di Old Trafford awal pagi Ahad.Keputusan itu menyaksikan United hanya mengutip enam mata daripada enam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kutipan terendah kelab itu pada peringkat berkenaan dalam tempoh 30 tahun.Lebih mengecewakan, United gagal memanfaatkan kelebihan seorang pemain selepas Rodrigo Bentancur dilayangkan kad merah, sebelum Dominic Solanke menghukum kelemahan tuan rumah menerusi gol penyamaan pada masa kecederaan.Bryan Mbeumo terlebih dahulu meletakkan United di depan ketika perlawanan berbaki 17 minit, namun kelebihan itu gagal dipertahankan sehingga wisel penamat.Carrick mengakui kecewa dengan kutipan mata pasukannya setakat ini dan menegaskan United perlu segera memperbaiki prestasi bagi mengelakkan keadaan terus meruncing."Saya pastinya tidak gembira dengan jumlah mata yang kami kumpul setakat ini. Saya tidak boleh menafikan hakikat itu," katanya.Menurutnya, beberapa insiden kecil mungkin mempengaruhi keputusan perlawanan, namun United perlu menerima realiti bahawa mereka gagal mengutip mata yang sepatutnya."Kami mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Kami hanya perlu lebih bijak mengendalikan situasi tertentu, lebih kental, lebih teguh dan memastikan kelebihan yang dimiliki dapat dipertahankan," katanya.Kegagalan itu bukan perkara baharu buat United apabila mereka turut melepaskan kelebihan dua gol sebelum seri 2-2 dengan Everton, selain tersingkir daripada Piala Liga selepas tewas kepada Brighton bulan lalu meskipun mendahului 2-0 pada awal perlawanan.Carrick menegaskan pemainnya perlu lebih bijak menentukan rentak permainan, khususnya ketika mendahului, selain memastikan penguasaan bola tidak mudah terlepas kepada lawan."Kami perlu tahu bila hendak menguasai bola, mengawal permainan dengan lebih baik, menjaga penguasaan bola di kawasan lawan dan sekitar kotak penalti mereka, selain terus menekan mereka di kawasan sendiri," katanya.Kegagalan mempertahankan kelebihan itu turut mengundang kekecewaan penyokong apabila pemain United dicemuh ketika menuju ke bilik persalinan pada separuh masa pertama dan selepas tamat perlawanan.Situasi itu menambah tekanan terhadap Carrick untuk segera memperbaiki prestasi pasukan.