SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat dakwaan seorang individu beragama Islam melakukan ritual agama lain yang menyalahi hukum syarak sebagaimana paparan satu hantaran tular dalam media sosial.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
"Ia membabitkan kesalahan melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan dengan apa-apa cara menyalahi hukum syarak, dan juga kesalahan melakukan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
"Setakat ini, JAIS belum dapat mengesahkan perbuatan itu dilakukan oleh individu berkenaan ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, sebagaimana (dakwaan) yang ditularkan," katanya dalam satu kenyataan, tengah malam tadi.








