Rancangan pembangunan lima tahun selalu meletakkan banyak objektif atau sasaran yang hendak dicapai dalam tempoh lima tahun. Tempoh lima tahun itu mungkin agak singkat untuk mencapai kesemua sasaran pembangunan kerana setiap program dan projek memerlukan masa untuk penelitian, perancangan rapi dan pelaksanaannya.
Tambahan pula, setiap rancangan lima tahun itu pula dipaksikan kepada jumlah peruntukan pembangunan dalam belanjawan tahunan kerajaan yang selalu dibentangkan di Parlimen dalam Oktober setiap tahun.
Kadangkala objektif yang lama belum tercapai, tetapi rancangan baharu sudah menetapkan objektif baharu, sedangkan masalah lama masih belum diselesaikan. Sistem belanjawan sektor awam bukan sahaja mengambil kira input dan output, tetapi ia juga kini memerlukan penilaian impak setiap program dan projek.









