KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus pekerjaan yang dijana tiga enjin utama pertumbuhan ekonomi negara iaitu penggunaan swasta, pelaburan dan eksport, masih terdiri daripada pekerjaan separa serta rendah kemahiran.
Data yang dipetik dalam kertas pandangan Khazanah Research Institute (KRI Views) menunjukkan 85.5 peratus pekerjaan yang dijana menerusi penggunaan swasta berada dalam kategori separa dan rendah kemahiran, berbanding hanya 14.5 peratus pekerjaan mahir.
Bagi pelaburan, 82.4 peratus pekerjaan yang terhasil adalah separa dan rendah kemahiran, manakala pekerjaan mahir hanya merangkumi 17.6 peratus.
Corak hampir sama dicatat bagi eksport apabila 85.4 peratus pekerjaan yang dijana adalah separa dan rendah kemahiran, berbanding 14.6 peratus pekerjaan mahir.






