TANJONG KARANG: Lori yang dirempuh sebuah Proton Exora dinaiki empat beranak sehingga mengorbankan tiga nyawa di Bukit Talang, Jalan Raja Musa di sini, tengah hari tadi, berhenti di bahu kiri jalan kerana tayar pecah ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, berkata rempuhan itu menyebabkan pemandu Proton Exora berkenaan, Norawalysa Mat Talpi, 44, disahkan meninggal dunia bersama dua anaknya di tempat kejadian akibat parah.

Dua kanak-kanak maut itu dikenal pasti sebagai Auni Syazana Suhaimi, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz Suhaimi, 8.

Katanya, seorang lagi anak mangsa dikenali sebagai Ahmad Syah Fitri Suhaimi, 10, pula cedera pada bahagian kepala.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.39 petang berhubung nahas itu.