SEREMBAN: Semua institusi pendidikan lslam bawah seliaan dan kawal selia Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) diarahkan tutup, bermula hari ini, berikutan jerebu yang melanda negara.

Menurut JHEAINS dalam satu kenyataan, malam tadi, pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung keselamatan serta kesihatan murid susulan keadaan jerebu.

"Semua institusi pendidikan lslam bawah seliaan dan kawal selia JHEAINS yang berada di kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) lebih 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS), hendaklah ditutup bermula Jumaat (hari ini).

"Arahan ini membabitkan sekolah menengah agama negeri, sekolah agama swasta, maahad tahfiz, institusi pengajian pondok, Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas AI-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Kelas Agama Petang (KAP) di premis Kementerian Pendidikan (KPM)," katanya.