KUALA LUMPUR: Skuad remaja wanita Bawah 17 Tahun semakin menghampiri impian ke Piala Asia apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan E Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 selepas membelasah Iraq 4-0, sebentar tadi.

Selepas membuka kempen dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Syria, skuad kendalian Takayoshi Ishihara tampil lebih garang untuk menguasai permainan dan menyudahkan peluang bagi menghasilkan kemenangan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Malaysia tidak menunggu lama untuk menguji pertahanan Iraq dan usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-19 apabila Aisyah Nur Iman Mohd Fuad menyambar sepakan sudut Nissriena Batrissya Mohd Azhar untuk membuka tirai jaringan.

Gol berkenaan menyemarakkan lagi permainan Malayan Tigress yang terus meningkatkan tekanan, namun penjaga gol Iraq, Asmaa Shivan, beberapa kali menjadi penghalang apabila berjaya menafikan peluang skuad negara.