SELAYANG: Impian Malayan Tigress B-17 untuk menempah tiket ke Piala Asia Wanita Bawah 17 Tahun (B-17) 2027 semakin menjadi kenyataan selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan E Kelayakan apabila membelasah Iraq 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Kejayaan itu meletakkan skuad kendalian Takayoshi Ishihara dalam kedudukan terbaik menjelang pertembungan penentuan menentang India pada Ahad yang dijangka menjadi aksi hidup mati bagi merebut slot ke pusingan akhir.

Selepas menang tipis 1-0 ke atas Syria dalam perlawanan pembukaan, Malayan Tigress tampil jauh lebih meyakinkan dengan corak permainan agresif dan penguasaan hampir sepanjang 90 minit.

Malaysia membuka jaringan pada minit ke-19 menerusi Aisyah Nur Iman Mohd Fuad yang bijak memanfaatkan sepakan sudut Nissriena Batrissya Mohd Azhar untuk menewaskan penjaga gol Iraq, Asmaa Shivan.