Kuala Lumpur: Peminjam yang berdepan kesukaran menjelaskan tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dialu-alukan tampil berunding bagi menstrukturkan semula bayaran balik atau memohon penangguhan mengikut kelonggaran yang dibenarkan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan kerajaan sentiasa prihatin terhadap kekangan dihadapi peminjam yang benar-benar terbeban untuk menjelaskan pinjaman mereka.
"Jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman agensi itu mencecah RM10.7 bilion membabitkan 1.16 juta peminjam setakat 31 Ogos 2026," menurut kementerian.
Kenyataan itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai jumlah keseluruhan hutang PTPTN terkini dan bilangan peminjam yang mempunyai tunggakan.






