PETALING JAYA: Beregu lelaki pecah ganding negara, Aaron Tai-Yap Roy King tidak mengambil masa lama untuk mempamerkan keserasian selepas mengejutkan pasangan No. 21 dunia, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, hari ini.
Aaron-Roy King mengetepikan gandingan Taiwan yang diletakkan selaku pilihan ketujuh itu 21-19, 21-11 dalam masa 39 minit.
Pada suku akhir, esok, beregu yang kali pertama digandingkan dalam Jelajah Dunia BWF tersebut bakal berdepan pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul yang menghuni ranking No. 34 dunia.
Sementara itu, beregu profesional Malaysia, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi masih bergelut untuk mencari titik keserasian apabila tewas kepada pasangan muda Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng 22-20, 20-22, 16-21 dalam masa 59 minit.









