MELAKA: Pakatan Harapan (PH) akan mengemukakan gagasan 'Melaka Rumah Kita' sebagai tawaran kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, dengan manifesto dan agenda masa depan negeri turut dibentangkan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata gagasan berkenaan akan mengetengahkan aspirasi gabungan itu berkaitan masa depan Melaka, kehidupan rakyat dan hala tuju negeri yang ingin dibentuk sekiranya diberikan mandat.
Beliau berkata, gagasan itu akan dibina secara berperingkat bermula dengan pembukaan bilik gerakan PH, semalam, yang disifatkan sebagai 'tiang pertama' kepada struktur lebih besar yang akan diperkenalkan sepanjang tempoh PRN kali ini.
"Apa dia 'Melaka Rumah Kita'? Nanti saya akan bentangkan sepanjang tempoh menjelang kempen dan hari mengundi... manifesto dan juga gagasan kita mengenai masa depan Melaka, kehidupan rakyat Melaka, apa yang kita impikan buat Melaka pada masa depan," katanya ketika merasmikan Bilik Gerakan Utama PH Melaka, di sini, semalam.








