KUALA LUMPUR: Semua sekolah agama bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah tutup sepenuhnya, mulai hari ini, susulan keadaan jerebu yang sedang melanda.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata langkah itu selaras kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Sekolah Islam persendirian yang berdaftar dengan JAIS disarankan mengikuti ketetapan ini.

"Susulan itu, sekolah terbabit hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

"Guru serta anggota kumpulan pelaksana (AKP) pula akan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan itu, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.