KUALA LUMPUR: Al-'Aqar Healthcare REIT (Al-`Aqar REIT) telah mengemukakan program sukuk dengan nilai had gabungan nominal sehingga RM3 bilion kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pihak pengurusannya JLG REIT Managers Sdn Bhd memaklumkan Al-'Aqar Capital Sdn Bhd yang juga syarikat tujuan khas milik penuh Al-'Aqar REIT menerusi Amanahraya Trustees Bhd sebagai pemegang amanah, telah membuat serahan program itu.

Ia merangkumi satu Program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM3 bilion dan program kertas komersial Islam (ICP) dengan nilai nominal RM300 juta, tertakluk kepada had gabungan berkenaan.

Program Sukuk Wakalah itu bagi membolehkan penerbitan nota jangka sederhana Islam senior dan/atau nota Islam subordinat kekal manakala Program ICP untuk penerbitan kertas komersial Islam berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.