MELAKA: Rundingan kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semakin menemui titik noktah dengan hanya pembahagian kerusi yang masih belum dimuktamadkan dan dijangka diputuskan minggu depan.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, perkembangan itu memberi petunjuk positif bahawa kerjasama berkenaan berkemungkinan menjadi kenyataan, meskipun beberapa perkara berkaitan pengagihan kerusi dan logo masih memerlukan persetujuan bersama.

Menurutnya, rundingan yang berlangsung setakat ini berjalan dengan baik dan kedua-dua pihak masih berusaha menyelesaikan perkara yang belum dipersetujui sebelum keputusan rasmi diumumkan sebelum BN mengumumkan senarai calon pada 24 Oktober ini.