am@hmetro.com.my

Shah Alam: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas pengumuman rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun pelbagai sesi perbincangan diadakan bersama parti lain, keputusan masih belum dimuktamadkan setakat ini.

"Kita akan tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya pada 7 Oktober (Rabu).

"Selepas itu, barulah ada pengumuman mengenai gabungan mana yang harus kita utamakan untuk bekerjasama atau mencapai persefahaman bagi menghadapi PRN Melaka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ilmuwan Islam Wacana Semarak Patriotisme di sini, hari ini.