Hanoi: Le Sy Tung, suspek yang ditahan kerana membunuh tiga individu di sebuah pusat pembelian hasil pertanian di Wilayah Dong Nai membuat pengakuan kepada pihak penyiasat dia melakukan jenayah bagi menyempurnakan misi dalam satu permainan.

Portal Vietnam Net melaporkan, pihak berkuasa menahan Tung, 33, selepas operasi menjejakinya dijalankan selama dua hari.

Siasatan diketuai Polis Wilayah Dong Nai dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah bawah Kementerian Keselamatan Awam.

Petang Sabtu, puluhan pegawai mengepung ladang di Wad Phuoc Binh, Pekan Phuoc Long (dahulunya Wilayah Binh Phuoc), tempat Tung bersembunyi selepas melarikan diri dari lokasi kejadian.

Ketika pemeriksaan, polis menemui pelbagai komponen senjata api, bom tangan asap, pita pelekat hitam, penyenyap bunyi, skop dan bahan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.