Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan menerusi Belanjawan 2027.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50.
"Maknanya kalau pendapatan seseorang itu belum mencecah RM2,500 sebulan, dia belum dikehendaki membayar apa-apa kepada PTPTN. Hanya setelah dia dapat gaji yang lebih (RM2,500 hingga RM3,000), maka diminta bayar RM50 sebulan.
"Ini memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam PTPTN. Saya percaya ini tidak menjadi isu kerana kalau dia (peminjam) belum mampu bayar, dia tak perlu bayar dan bila dah mampu, bayar RM50 sebulan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.








