KUALA LUMPUR: Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan menggembleng pelaburan domestik berjumlah RM25 bilion menerusi inisiatif GEAR-uP bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta meningkatkan keupayaan syarikat tempatan dalam sektor bernilai tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaburan itu antara usaha memperluas kapasiti industri tempatan, memperkukuh rantaian bekalan domestik dan membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia meneroka segmen perniagaan bernilai tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, antara inisiatif terbabit ialah penubuhan New Economy Venture Fund berjumlah RM1.25 bilion oleh Sime Darby Property, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi membangunkan pusat data serta aset logistik di Elmina, Selangor.