KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM935 juta bagi memperkasa sektor pelancongan dan budaya, selaras dengan pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 hingga tahun depan.

Bagi merancakkan industri pelancongan, geran galakan turut disediakan kepada penggiat industri untuk mempromosikan destinasi serta menganjurkan acara pelancongan.

Mutu kemudahan pelancongan juga akan ditingkatkan, termasuk prasarana jeti dan tapak warisan yang berpotensi mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), seperti Lembah Danum di Sabah, Lembah Bujang di Kedah dan Taman Negara Pahang.

Sektor seni, budaya dan warisan pula terus diperkasa menerusi penganjuran Festival Budaya sempena Sukan SEA, selain sokongan kepada penggiat seni dan warisan, termasuk pengusaha kraf tangan, tenunan dan batik.