KUALA LUMPUR: Malaysia dan China sepakat untuk menyambung laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ECRL ialah projek pengangkutan darat rentas wilayah sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan Pantai Timur Semenanjung dengan Pantai Barat.

Laluan itu bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang, membabitkan 20 stesen, terdiri daripada 10 stesen penumpang dan 10 stesen yang menggabungkan perkhidmatan penumpang serta kargo.

Beliau berkata, Fasa 1 ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi pada Disember ini.