KUALA LUMPUR: Peruntukan RM757 juta bagi pembangunan sukan dalam Belanjawan 2027 diharap dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk memperkukuh persiapan menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
Malah meningkatkan keupayaan atlet serta mengiktiraf sumbangan penggerak sukan negara.
Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, peruntukan besar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu wajar dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti pencapaian atlet baharu dan sedia ada di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, pelaburan dalam sukan bukan sekadar membabitkan pembangunan prasarana, sebaliknya turut mencerminkan kesediaan kerajaan membangunkan modal insan sukan negara.









