KUALA LUMPUR: Perluasan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dapat merancakkan ekonomi peniaga kecil dan memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Inisiatif kerajaan yang membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali pada tahun depan turut disambut baik pengguna, terutama dalam membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah.

Pekerja swasta, Intan Nor Sazwani, 32, berkata bantuan itu turut memberi kelegaan kepada golongan yang tidak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), terutama ketika kos sara hidup dan harga barangan keperluan terus meningkat.

Pemberian bantuan itu sebanyak dua kali iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ulang tahun kemerdekaan dapat membantu mengimbangi perbelanjaan isi rumah ketika keperluan keluarga lazimnya bertambah.